Rahmad tukar taktikal hadapi Felda United

Oleh Tengku Danish Bahri 15 Julai 2017 442
Rahmad tukar taktikal hadapi Felda United
Ketiadaan tonggak import, Mamadou Samassa, memaksa pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, merencana strategi baharu untuk aksi Liga Super bertemu Felda United di Jengka, malam ini.

Ujar Rahmad, dia sedang mempersiapkan corak permainan berbeza selepas Samassa, 31, mengalami kecederaan serius dalam kemenangan ke atas Kelantan, Selasa lalu.

Pemain kelahiran Mali itu difahamkan mengalami kecederaan tendon serta memerlukan tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan untuk pulih.

Rahmad turut mengakui tidak banyak dapat dilakukan mereka dengan tahap kecergasan pemain sentiasa menjadi keutamaannya untuk menurunkan kesebelasan terbaik.

“Kemenangan ke atas Kelantan sudah dilupakan dan fokus kami kini terarah bagaimana untuk menghadapi Felda United.

“Meskipun Samassa mungkin tidak akan beraksi lagi untuk baki musim ini, saya berharap pemain-pemain lain mengekalkan semangat yang sama.

“Sesiapa pun boleh menggantikan tempat Samassa dalam pasukan ini dan dengan gaya permainan yang berlainan, sudah tentu kami akan turun dengan strategi berbeza,” katanya lagi.

Tentang Penulis

 Tengku Danish Bahri

Komen