Berdepan pasukan Kedah malam ini, pengendali PJ City, K. Devan, tidak menolak kemungkinan bahawa pasukannya mungkin menggunakan modus operandi serupa sewaktu berdepan Selangor tempoh hari.

Istilah 'park the bus' dan serangan balas akan menjadi kunci utama selain dijangka tidak melakukan sebarang perubahan daripada senarai kesebelasan utama.

"Kami akan tetap bermain dengan falsafah kami. Kami cuba menggerak permainan daripada bawah dan mengutamakan serangan balas. Berdepan lawan yang kuat seperti Kedah, permainan terbuka akan menghadirkan masalah buat kami," kata Devan.

Sementara itu, pengendali Kedah, Aidil Shahrin Sahak, tidak mahu masalah dalaman persatuan diterjemahkan di atas padang dengan melaungkan keyakinan anak-anak buahnya tetap mahu meraih tiga mata berharga berdepan PJ City di Stadium Darul Aman.

Aidil menegaskan anak-anak buahnya harus berwaspada tanpa perlu memikirkan corak permainan pasukan lawan.

"Saya berasakan mereka akan menggunakan strategi yang sama ketika bertemu Selangor. Sebagai satu pasukan, kami perlu memberikan tumpuan kepada permainan kami dengan memastikan menyerang dan bertahan sebagai satu unit dan mengharapkan keputusan positif dapat terhasil," kata Aidil.