Piala Suzuki: Beraksi dalam Liga M beri kelebihan ke atas Singapura -- Andik

Oleh Staff Writer 24 November 2016 6
Piala Suzuki: Beraksi dalam Liga M beri kelebihan ke atas Singapura -- Andik

Pemain sayap Indonesia, Andik Vermansyah, yakin akan kemampuan pasukannya untuk membenam Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A, Piala AFF Suzuki 2016 esok.

Kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan di Stadium Memorial Rizal, Manila bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir, namun perlu mengharapkan Filipina gagal mengatasi Thailand, yang sudah pun melayakkan diri.

Singapura dan Indonesia berkongsi senario sama di peringkat kumpulan apabila kedua-duanya masih gagal melakar sebarang kemenangan.

Singapura merekodkan keputusan 0-0 berdepan Filipina sebelum tewas 1-0 kepada Thailand manakala Indonesia tewas 4-2 berdepan Thailand sebelum seri 2-2 berdepan Filipina.

Andik, bagaimanapun, menegaskan pengalamannya beraksi dalam Liga Malaysia memberikannya kelebihan ke atas Singapura.

"Saya bermain dalam Liga Malaysia -- bersama Selangor -- jadi saya tahu kemampuan pemain Singapura," Andik memberitahu affsuzukicup.com.

"Kami tahu mereka memiliki barisan pertahanan yang baik di samping memiliki kelebihan dalam 'set peices' tetapi mereka tidak mampu menjaringkan gol ketika permainan terbuka.

"Saya yakin Indonesia mampu muncul pemenang."

Pemain berusia 24 tahun itu telah mempamerkan aksi mantap di Myanmar dan menjelang aksi berdepan Singapura, dia telah pun berkongsi pengetahuannya dalam Liga Super untuk menyaingi pemain Singapura yang beraksi di Malaysia, antaranya Haris Harun (Johor Darul Ta'zim) dan Safuwan Baharudin (PDRM).

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan jurulatih tentang pemain-pemain ini. Jika mereka melakukan perkara sama mengenai saya, itu bukan satu masalah.

"Kami memiliki ramain pemain berkualiti. Tidak kira apa keputusan di antara Filipina dan Thailand, kami perlu menang."

 Anda juga boleh mendapat berita ini melalui Stadium Astro app. Muat turun sekarang https://www.stadiumastro.com/ms/mobile-app

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen