Jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, menganggap pilihan di jentera serangan membabitkan kombinasi pemain muda dan berpengalaman mampu mencetus bahaya di gawang pihak lawan.

Kelincahan gandingan Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha masih segar dalam ingatan sehingga membawa kepada kejayaan Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki, enam tahun lalu.

Aksi 2016 bakal menampilkan kelibat yang sama, bagaimanapun pilihan yang dimiliki Kim Swee kali ini lebih pelbagai, merujuk kepada kehadiran dua penyerang muda negara, iaitu Ahmad Hazwan Bakri dan Darren Lok.

Kim Swee menegaskan, dengan kelebihan keempat-empat penyerang yang dimiliki negara ketika ini, corak permainan yang bakal diatur Kim Swee lebih terbuka mengikut kesesuaian mengatasi pihak lawan.

"Dengan kombinasi yang betul, kami boleh melakukan banyak perkara, khususnya untuk menembusi kubu pertahanan lawan," kata Kim Swee ketika ditemui di sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi.

Sehubungan itu, Kim Swee memberi bayangan awal bahawa kesebelasan utama skuad negara tidak hanya tertumpu dengan kehadiran pemain-pemain muda semata-mata memandangkan pemain berpengalaman juga mampu memberi impak kepada pasukan.

"Saya tidak boleh membariskan ramai pemain baru dalam kesebelasan, terutama dengan kehadiran pemain-pemain senior yang boleh membimbing mereka.

"Jika mereka diberi peluang, saya harap pemain-pemain lain dapat membantunya daripada perlawanan-perlawanan yang telah kita lalui."