Felda United berdepan kesuntukan masa menjelang sepak mula Liga Super 2020 yang kembali bersambung Jumaat depan apabila pemain tengah import, Frederic Bullot, dikhabarkan mengalami kecederaan di bahagian lutut kanan.

Penggempur dari Gabon itu, bagaimanapun, tetap optimis dengan peluangnya untuk beraksi menentang UiTM FC sambil mengharapkan laporan perubatan pasukan yang akan dikeluarkan minggu depan menunjukkan petanda positif.

"Saya ditimpa kecederaan lutut kanan ketika kami mengadakan perlawanan ujian pertama (menentang Kuala Lumpur) di Lembah Klang sebelum ini.

"Namun, saya tetap berhasil menghabiskan babak pertama.

"Pemeriksaan awal tidak menunjukkan tanda masalah serius, tiada darah beku mahupun kecederaan ligamen jadi ini satu perkembangan mustahak buat saya.

"Saya berharap dapat membantu pasukan memandangkan kami akan berdepan setiap pasukan sekali sahaja," katanya.