Perak kutip tiga mata berharga

Oleh Hairi Yahaya 28 September 2017 610
Perak kutip tiga mata berharga
Perak seperti diramal berjaya menjinakkan Pulau Pinang 1-0 dalam aksi Liga Super di Ipoh, semalam, sekaligus melonjakkan skuad The Bos Gaurus ke tangga kelima manakala Pulau Pinang disahkan turun ke Liga Perdana musim depan dengan liga hanya berbaki satu perlawanan. 

Pengendali The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, berkata walaupun menurunkan pasukan kedua bertemu Pulau Pinang, namun misi tiga mata tetap disasarkan dan pemain berjaya melakukan tanggungjawab mereka.

"Sekalipun menampilkan ramai pemain simpanan kali ini, Perak tetap memberikan persembahan terbaik. 

"Apa yang penting, kami dapat tiga mata dan naik satu anak tangga berada di tempat kelima.  Jika bernasib baik dalam perlawanan terakhir menentang Pahang nanti, mungkin kedudukan ini boleh diperbaiki lagi," ujarnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan, mengambil keputusan semalam sebagai sesuatu yang positif.

"Memang bukan sesuatu yang baik bila kami kena turun ke Liga Perdana.

"Saya berharap semua yang terlibat kena kuatkan diri demi menaikkan kembali martabat bola sepak Pulau Pinang.

"Apa yang penting, pasukan perlu memperbaiki diri secepat mungkin," kata Zainal. 
 

Tentang Penulis

Hairi Yahaya

Komen