Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman denda RM35,000 serta dua perlawanan dalam stadium kosong oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap insiden yang berlaku dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2017.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, rayuan itu dibuat kerana berasakan Perak tidak wajar dipersalahkan atas insiden yang berlaku.

"Ketika pertemuan Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) tempoh hari, PAFA telah mengambil semua langkah sewajarnya bagi meningkatkan kawalan dan keselamatan penonton.

"Namun, berlaku juga kekecohan. Ia memang di luar kawalan kami," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Puhat meminta FAM untuk menimbang rayuan Perak memandangkan PAFA terpaksa menanggung beban kewangan yang besar.

Dalam masa yang sama, beliau turut meminta peminat dan penyokong memberi kerjasama pada masa akan datang.