Kem Perak terus dilanda kecederaan. Kini giliran Leandro dos Santos yang terpaksa menonton dari bangku penonton apabila Perak bertemu Kelantan di Kota Bharu dalam saingan Liga Super, esok.

"Berita Leandro cedera memberi kesan kepada pasukan tetapi ini adalah asam garam bola sepak. Tidak boleh buat apa-apa, cuma kena fikir pilihan terbaik untuk bertemu Kelantan," ujar pengendali, Perak, Mehmet Durakovic.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tempoh rehat 10 hari sebelum berkunjung ke Kelantan memberi ruang untuk Perak kembali cergas.

"Kami perlukan rehat ini. Tiga perlawanan awal di tempat lawan begitu mencabar, termasuk perlawanan di sini (Lumut). Nanti kena bergerak ke Kelantan. Ini tidak mudah.

"Kami banyak belajar daripada perlawanan terakhir bertemu PKNS. Untuk ke Kota Bharu, kami sudah bersedia. Kelantan bukan calang-calang pasukan," tambahnya.

Selepas tiga perlawanan pada musim ini, Perak telah mengutip empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan tewas sekali.