Sarawak merancang untuk mendapatkan tiga mata penuh dalam aksi Liga Super bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Pengendali Ngap Sayot, Pengiran Bala, menjelaskan dia mengambil kira bermain di tempat lawan agak kurang tekanannya berbanding di gelanggang sendiri dan yakin anak-anak buahnya mampu pergi jauh.

"Secara jujur, saya memang khuatir kerana ketiadaan Demerson Bruno Costa dan Ronny Harun, namun saya yakin Hairol Mokhtar dan Mazwandi Zekeria mampu memggalas beban menggantikan mereka.

"Saya menaruh harapan yang tinggi kedua-duanya dapat bertahan dengan baik seperti aksi menentang JDT tempoh hari," katanya.

Pengiran Bala berkata satu lagi khabar gembira ialah kembalinya Nur Shamie Iszuan untuk memperkuat jentera serangan selepas beraksi untuk skuad bawah 22 tahun kebangsaan dalam kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok.

"Kehadiran Shamie amat penting bagi membuka serangan pantas dari tepi bersama-sama Tommy Mawat Bada sambil dibantu Sahil Suhaimi di bahagian tengah.

"Saya mahu Milos Raickovic dan Mateo Roskam melaksanakan tugas mereka.

"Kami amat perlukan tiga mata penuh dan malam ini seharusnya menandakan kebangkitan.

"Tiada lagi alasan kerana ketika ini keserasian pasukan seharusnya bukan lagi isu," ujarnya.

Sarawak kini berada di tangga ke-10 Liga Super dengan pungutan 14 mata manakala Melaka di kedudukan ke-11 dengan 12 mata.