Pengendali Sarawak, Pengiran Bala, mahu mengakhiri saingan musim 2017 dengan kemenangan ke atas T-Team dalam aksi terakhir bagi memastikan mereka terus kekal berada dalam saingan Liga Super, musim depan.

"Buatlah apa sahaja yang perlu asalkan menang," pesan Pengiran Bala kepada pemainnya.

Misi malam ini cukup jelas biarpun Pengiran Bala menyedari T-Team bukanlah pasukan yang calang-calang.

"Kami hanya perlukan tiga mata. Dan tiga mata ini akan membawa kami kekal bersaing dalam Liga Super musim depan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Ketika ini, Sarawak berada di tangga ke-10 liga dengan 20 mata manakala T-Team berada di tangga kesembilan, dengan 22 mata. Jika menang, skuad Bujang Senang akan mengambil alih kedudukan T-Team.

Kata Pengiran Bala, semua pemainnya teruja untuk aksi terakhir pada malam ini dan berharap akan memberi persembahan terbaik.

"Kita berharap momentum bertemu Kedah akan diteruskan. Semangat hebat 45 minit terakhir dalam perlawanan itu akan kembali," ujarnya.

Pengiran Bala berkata beliau turut berharap semua penyokong Sarawak akan membanjiri Stadium Negeri dengan lautan merah malam ini, dengan aksi telah diseragamkan di seluruh negara pada jam 9 malam.

"Dengan sokongan pemain ke-12 ini, saya berharap kami akan mencipta kemenangan dan menutup buku 2017 dengan senyuman," katanya.

Pengiran Bala mengambil alih tugasan sebagai pengendali Sarawak pada pertengahan musim ini daripada David Usop, dan sejak itu berjaya membawa skuad Ngap Sayot mencipta satu demi satu kemenangan di tempat sendiri.