Pemain dan jurulatih pasti teruja untuk kembali ke padang latihan selepas hampir tiga bulan melakukan senaman ringan di rumah masing-masing.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, berasakan latihan seperti itu sepatutnya bermula lebih awal.

Skuad The Red Giants itu memulakan sesi latihan pertama mereka hari ini dan pasukan berkenaan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan 45 minit diperuntukkan bagi setiap sesi latihan.

"Walaupun sudah mendapat kelulusan (untuk memulakan latihan) sejak 17 Jun lalu, saya tidak terus menjalankan ujian.

"Saya melakukan beberapa ujian untuk melihat kekurangan pemain dan pemain mana yang perlu melakukan lebih berbanding pemain lain.

"Itu yang kami lakukan, di mana saya menghabiskan hampir 40 minit.

"Tetapi ia tidak sempurna dan tidak akan menjadi kelebihan buat pasukan," katanya kepada Nadi Arena.

Sathianathan juga mengakui tahap kecergasan pemainnya cukup terjejas selepas berehat panjang berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, namun berasakan ia dapat diatasi menerusi sesi latihan fasa 1 ketika ini.

"Terutama daripada aspek ketahanan.

"Latihan ketahanan, jika dilakukan di rumah sewaktu PKP, memang tidak akan dapat sesuatu yang sempurna.

"Jadi, hari ini, kami bermula dengan latihan ketahanan dan dapat lihat ada pemain yang sudah biasa, seolah-oleh mereka tidak pernah putus daripada berlatih.

"Tetapi ada dua atau tiga pemain yang bergelut, terutama di posisi yang tidak memerlukan daya ketahanan.

"Pemain seperti ini akan berasa susah," tambahnya.

Penjaga gol, Khairulazhan Khalid, menambah: "Biasalah, masih pagi, jadi masih belum sedar lagi.

"Ini merupakan latihan pertama, Alhamdulillah, kayuh perlahan-lahan, Insya-Allah.

"Saya kena berusaha lebih lagi untuk mendapatkan tahap kecergasan yang telah hilang selama tiga bulan ini," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Pahang difahamkan sebagai pasukan tunggal daripada Liga Super yang masih belum memulakan usaha untuk kembali berlatih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) ketika ini.

Ia mewujudkan pelbagai spekulasi mengenai situasi skuad Tok Gajah itu dan pengurusnya, Datuk Suffian Awang, tampil memberikan penjelasan mengenai pendirian mereka.

"Perkara ini tidak boleh seperti: 'Baiklah jurulatih Dollah (Salleh), kita mulakan latihan, kita buat ujian swab'.

"Ia perlu dirancang dan memerlukan kepatuhan.

"Seperti yang saya katakan, ia perlu dibawa ke dalam mesyuarat.

"Kerana implikasinya bukan hanya melibatkan pasukan Pahang tetapi juga pasukan lain.

"Bagi saya, ia bukan sahaja memerlukan pematuhan tetapi ia juga memerlukan pendidikan.

"Kita perlu patuh kepada setiap perkara (yang ditetapkan)," katanya.