Pemain Kedah terguris kenyataan presiden KFA

Oleh Staff Writer 29 Julai 2020 4614
Pemain Kedah terguris kenyataan presiden KFA
Tiada istilah cepat atau lambat, demikian kata penyerang Kedah, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, yang sebelum ini dia dan rakan sepasukan percaya masalah ini mampu diselesaikan pihak pengurusan. 

Namun, semuanya hampa danseperti hilang arah, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) merupakan penyelesaian terbaik buat tonggak Lang Merah selepas cuba memahami situasi dengan masalah berbangkit seperti penularan wabak COVID-19 sejak Mac lalu. 

"Apabila isu ini timbul, kami sebenarnya (berdepan) sengsara kerana lima bulan tidak dapat gaji. 

"Sebelum ini kami pernah berbincang dengan pihak pengurusan, beri mereka selesaikan masalah yang ada. 

"Sebab itu, kami tetap menunggu dan sampai satu masa, masing-masing perlu menuntut hak sendiri," kata bekas ketua pasukan kebangsaan berkenaan. 





Buat muka baru Kedah, Hadin Azman, dia berasakan perpindahannya ke kelab itu lebih kepada membawa kesengsaraan selepas hampir lima bulan dipalit isu tidak bergaji. 

"Sebenarnya kami faham dengan situasi ekonomi dan kelab jadi kami cuba bagi muka dan bertahan sekejap. 

"Tetapi akhirnya, presiden baru (Sanusi Mohd Nor) tidak mahu ambil tahu dan kenyataan yang dibuatnya membuatkan kami marah.

"Kami sudah beri muka, beri peluang tetapi mereka buat macam ini jadi kami terpaksa buat aduan," kata bekas bintang Felda United itu. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail, menjelaskan ketika ini terdapat 23 pemain skuad utara itu yang sudah pun membuat laporan kepada badan induk berkenaan. 

Tempoh sekurang-kurangnya 10 hari akan diberikan kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebelum perkara itu dibawa kepada  Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).  

"Saya mewakili PFAM ingin menyarankan kepada pemain-pemain daripada pasukan lain yang turut bermasalah tunggakan gaji agar tampil kepada PFAM supaya kami boleh ambil tindakan," kata Izham. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen