Peluang JDT kekal kejuaraan sudah terbentang 

Oleh Staff Writer 25 Jun 2019 370
 Peluang JDT kekal kejuaraan sudah terbentang 
Johor Darul Ta'zim (JDT) di landasan terbaik untuk mengekalkan trofi liga dengan aksi berdepan Melaka United, malam ini, mampu menjadi titik tolak untuk mereka memastikan gelaran buat kali keenam berturut-turut.

Aksi di Stadium Hang Jebat itu amat penting buat juara lima kali itu berikutan perbezaan 13 mata dengan pasukan tangga kedua, Pahang, yang bakal menyaksikan Harimau Selatan selangkah mempertahankan kejuaraan tatkala saingan berbaki lima perlawanan.

Skuad kendalian Benjamin Mora itu dilihat tidak terkesan dengan aksi tidak konsisten Melaka yang dibimbing Zainal Abidin Hassan, termasuk tersingkir awal dalam saingan Piala FA, April lalu.

Juara Piala AFC 2015 itu pastinya tidak mahu menoleh ke belakang dengan pencapaian gemilang yang diraih untuk terus mengorak sejarah, sekali gus mengekalkan status sebagai gergasi Liga Malaysia (Liga-M).

Andai tiga mata digenggam ketika berdepan tuan rumah, maka aksi di Stadium Perak, 6 Julai ini, bakal menjadi penentu gelaran.

Namun, jika kejutan berlaku ketika mereka berdepan Sang Kancil, harapan tipis bernyala buat Tok Gajah yang berkelebihan satu perlawanan untuk menggugat kedudukan seteru utama mereka itu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen