Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum menekan butang panik berhubung proses pelesenan kelab pasukan Liga Malaysia (Liga-M) biarpun 10 daripada 20 pasukan yang bersaing musim ini masih belum melengkapkan proses itu sebelum tarikh akhir pertama hari ini.

FAM menetapkan dua tarikh akhir untuk kesemua pasukan melengkapkan proses pelesenan kelab tahun ini.

Tarikh akhir pertama akan berakhir 31 Ogos 2020 (hari ini) membabitkan penyerahan dokumentasi pengurusan manakala 15 September depan pula merupakan tarikh akhir bagi penyerahan dokumentasi kewangan.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata: "Untuk kriteria bukan kewangan, hari ini merupakan tarik akhirnya dan masih ada 50 peratus pasukan yang masih perlu melengkapkan dokumentasi bukan kewangan.

"Memang ada pergerakan tetapi saya perlu melihatnya pagi esok untuk mendapatkan maklumat terkini," katanya.

Pasukan yang dihimpit dengan masalah tunggakan gaji dijangka sukar untuk memperoleh lesen kebangsaan bagi beraksi dalam Liga-M musim depan.

Situasi itu jelas tidak memihak beberapa pasukan seperti Kelantan, Kedah dan Melaka.

"Disebabkan tahun ini, selain daripada proses pelesenan, kami juga mempunyai proses mengubah daripada FA (persatuan bola sepak) kepada FC (kelab bola sepak) dan proses pelesenan merupakan keperluan untuk bermain dalam Liga Divisyen 1 dan Liga Divisyen 2 di Malaysia.

"Mana-mana pasukan yang tidak menerima lesen pada tahun ini, ia akan menyebabkan mereka jatuh ke Liga M-3," tambahnya.