Pengendali PDRM, Ishak Kunju, mengakui kekurangan yang dimiliki pasukannya yang yang menjadi faktor utama The Cops terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super musim depan.

Terengganu menang bergaya 4-0 ketika membenam pelawat dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal, malam tadi.

"Saya mahu berlaku jujur, bukannya mahu mencari alasan.

"Apabila tersingkir, maknanya kami tidak cukup bagus.

"Semua pihak perlu memikul kegagalan ini, termasuk pengurusan dan pemain, khususnya saya.

"Ini kerana saya bertanggungjawab sepenuhnya untuk membentuk pasukan dan memberikan aksi terbaik.

"Pengurusan pun faham dan berdasarkan peruntukan yang diberikan, kami perlu akur," katanya sejurus perlawanan.




Dalam masa sama, kemenangan skuad Peteh itu dicetus dua pemain import bagi mengakhiri kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan untuk melonjak ke tangga keempat liga.

"Nikmat kemenangan ini adalah perkara paling manis.

"Selepas tiga perlawanan, prestasi kami menurun dan malam ini akan menjadi titik tolak kepada retak kemenangan untuk menghadapi dua perlawanan terakhir, Felda United dan Pahang.

"Adalah normal sebagai jurulatih, kami direhatkan selepas kalah dalam tiga perlawanan tetapi apa yang lebih penting, selagi pengurusan memerlukan khidmat saya, saya akan berikan yang terbaik," kata jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain.