PBNP: Isu penamatan kontrak Forkey Doe jelas, ambil tindakan undang-undang terhadap Sumareh 

Oleh Shaiful Shamsudin 7 September 2020 8027
PBNP: Isu penamatan kontrak Forkey Doe jelas, ambil tindakan undang-undang terhadap Sumareh 
Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mendakwa bekas penyerang, Francis Forkey Doe, tiada hak untuk mengadu kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai kes tunggakan gaji.

Ia susulan surat persetujuan bersama pada April 2018 yang menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan kontrak selepas penyerang kelahiran Liberia itu ditimpa kecederaan lutut serius.

Persatuan itu pada 2 April 2018 berjaya mencapai kata sepakat dengan Forkey Doe untuk menamatkan kontraknya menerusi sejumlah pampasan yang telah dipersetujui kedua-dua pihak.

Justeru, tindakan penyerang berusia 35 tahun itu cukup mengejutkan pasukan dari Pantai Timur berkenaan. 

"Sekiranya dia ada permasalahan mahupun ketidakpuasan hati, ia boleh dibincangkan sebelum penamatan perjanjian secara persetujuan bersama ditandatangani. Isu itu sudah lepas tetapi kenapa ia timbul sekarang?

"Dia pernah mendapatkan khidmat peguam dari luar negara untuk menuntut perkara yang sama. 

"Namun, hingga kini, FIFA sekalipun tidak mempersoalkan kedudukan itu. 

"Saya yakin dan percaya, penamatan kontrak dengan persetujuan bersama itu telah berlangsung pada 2 April 2018 maka hingga ini, tidak ada kes terhadap PBNP," kata pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, kepada wakil Nadi Arena, Bazly Azmi, di ibu kota hari ini. 





PBNP turut menyatakan pendirian tegas mengenai seorang lagi bekas penyerang, Mohamadou Sumareh, yang dikatakan mengaktifkan klausa 8.7 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kontrak bersama mereka. 

Klausa 8.7 itu menyatakan kontrak boleh ditamatkan tanpa sebarang kesan jika pemain tidak menerima gaji lebih sekali.

"Kenapa rakan-rakannya boleh berbincang secara profesional dengan pengurusan, jurulatih dan pihak tertinggi PBNP. Kami boleh selesaikan perkara ini. 

"Ada juga pemain pasukan lain yang sekarang ini tidak mendapat gaji sampai 4-5 bulan, tetapi mereka masih boleh bertahan dan mengadakan perbincangan yang baik dengan pengurusan. 

"Tetapi daripada segi hak perundangan, dia tidak mengikut lunas undang-undang sebenar. 

"Oleh itu, PBNP pada hari ini akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sumareh."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen