Pahang tidak terkesan tanpa Sumareh, kata Nwakaeme

Oleh Muzaffar Musa 11 September 2020 1149
Pahang tidak terkesan tanpa Sumareh, kata Nwakaeme
Tonggak import Pahang, Dickson Nwakaeme, menganggap perlawanan Liga Super menentang PDRM di Stadium Darul Makmur malam esok sebagai peluang terbaik untuk skuad Tok Gajah itu bangkit selepas tewas kepada UiTM FC minggu lalu.

Dengan kebangkitan itu, ia sekali gus akan membuktikan kehilangan Mohamadou Sumareh tidak memberikan impak buruk kepada prestasi pasukan itu.

Pahang dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada UiTM di gelanggang lawan Sabtu lalu.

Selepas lapan perlawanan, pasukan Pantai Timur itu berada di tangga kelapan liga dan masih belum mencatatkan sebarang kemenangan sejak saingan itu bersambung.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Nwakaeme berkata: "Seperti yang selalu saya katakan, bola sepak bukanlah mengenai seorang pemain.

"Pahang lebih besar daripada mana-mana pemain, termasuk saya.

"Tanpa seorang pemain, saya fikir Pahang akan tetap mara ke depan.

"Sudah pasti Sumareh seorang adik kepada saya.

"Saya amat merinduinya tetapi saya yakin Pahang dapat melakukannya walaupun kehilangan mana-mana pemain," katanya.

Nwakaeme dikhabarkan akan meninggalkan Pahang pada penghujung musim ini tetapi pemain berbangsa Nigeria itu menegaskan ia tiada kaitan dengan pemergian Sumareh daripada pasukan berkenaan.

"Saya tidak akan katakan ia disebabkan Sumareh. Jika dia tiada di sini, ia tidak bermakna saya juga akan meninggalkan pasukan ini.

"Saya berharap dapat menamatkan karier saya di Pahang jika ia sesuatu yang tidak mustahil.

"Percayalah, saya tidak dapat menjelaskan kepada anda tentang hubungan saya dengan Pahang.

"Bagi saya, ia lebih daripada sekadar bola sepak. Ia satu keluarga. Jadi, saya perlu berkata jujur, saya tidak berada di sini kerana sesiapa.

"Apabila tiba masanya, itulah masanya. Ia bukan disebabkan mana-mana pemain," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen