Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, enggan memberi muka kepada Felda United dengan menuntut supaya skuad Tok Gajah itu berhabis-habisan untuk mengesahkan gelaran naib juara Liga Super musim ini.

Pertemuan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini cukup penting buat The Fighters.

Skuad kendalian Nidzam Jamil itu berpeluang besar untuk mengelakkan penyingkiran daripada Liga Super seandainya memenangi perlawanan itu.

Namun, Dollah menegaskan tiada laluan mudah buat Felda United kerana pasukannya juga mempunyai misi penting untuk dilunaskan.

Pahang memburu sekurang-kurangnya keputusan seri untuk muncul naib juara dengan hanya berbaki satu perlawanan.

"Apa-apa sekalipun kami kena menang.

"Kami kena pastikan tempat kedua itu menjadi milik Pahang.

"Jika tidak banyak, ia sedikit dapat mengubati luka yang parah apabila kami kalah dengan Perak dalam Piala FA ," katanya.

Pahang dijangka akan melakukan perubahan dalam kesebelasan utama selepas beberapa pemain tonggak kembali pulih daripada kecederaan.

Antaranya ialah Norshahrul Idlan Talaha, Safuwan Baharuddin dan Dickson Nwakaeme yang sebelum ini direhatkan ketika bertemu Terengganu FC.

"Felda bukanlah pasukan yang mudah.

"Bagi saya, mereka juga berada dalam keadaan tertekan dan pastinya akan berhabis-habisan.

"Itulah yang akan menyukarkan kami, cuma bezanya kami bermain di tempat sendiri dan sudah pasti akan berhabis-habisan juga," tambahnya.