Pahang terpaksa bayar harga mahal sementara PDRM belum mahu ucap selamat tinggal.

Itu dua cerita berbeza di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi yang menyaksikan skuad Tok Gajah bangkit daripada kekalahan untuk meraih kemenangan berharga 2-1 ke atas PDRM.

Kejayaan itu membolehkan skuad bimbingan Dollah Salleh berkenaan kembali bernyawa untuk bersaing menduduki kelompok atasan Liga Super musim ini.

Terima kasih kepada Ivan Carlos dan Faisal Halim yang menghasilkan gol buat tuan rumah ketika lawan cuba bangkit hasil jaringan Amir Saiful Badeli.

Begitupun, di sebalik keputusan positif itu, juara edisi 2004 tersebut bakal kehilangan dua lagi pemain utama, Mark Herold Gulon dan Carlos gara-gara kecederaan.

"Saya tidak pasti dengan Dickson (Nwakaeme) sementara Herold dan Carlos ditimpa masalah pangkal paha -- setahu saya ia memerlukan seminggu dua untuk pulih.

"Saya harap mereka dapat beraksi dalam perlawanan akan datang.

"(Kemenangan ini) memang sangat melegakan, pemain-pemain pun nampak ceria di dalam bilik persalinan -- tidak seperti biasa.

"Kemenangan malam ini merupakan suntikan semangat buat pemain untuk menghadapi perlawanan yang akan datang.

"Saya percaya mereka boleh bangkit," kata Dollah.

PDRM, bagaimanapun, belum mahu mengibar bendera putih apabila pengendalinya, Ishak Kunju, menganggap pasukannya masih berpeluang untuk kekal dalam saingan utama berdasarkan perkiraan matematik.

"Kalau saya tidak yakin, lebih baik esok katakan bahawa kami akan tergelincir.

"Kami akan berjuang sehingga perlawanan terakhir. Selagi kami masih berpeluang secara metematik, kami akan berjuang.

"Kami cuma perlu mengubah mentaliti untuk mempercayai kemampuan sendiri dan melakukannya bersama-sama dalam setiap perlawanan, bukan setakat sekali dua sahaja.

"Masih ada 12 mata untuk direbut, dengan mengumpul 9-10 mata lagi boleh menyelamatkan kedudukan kami, ia juga bergantung kepada keputusan lain," katanya pula.