Pahang buat Kedah berputih mata 

Oleh Shaiful Shamsudin 26 September 2020 6101
Pahang buat Kedah berputih mata 
PAHANG 2 KEDAH 1

Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah boleh berkira-kira untuk meraikan trofi Liga Super ketujuh berturut-turut selepas Kedah tersungkur 1-2 di Stadium Darulmakmur, sebentar tadi. 


Tuan rumah, Pahang, yang rata-rata mengetengahkan pemain muda ekoran dihimpit masalah kecederaan, mengecewakan Lang Merah yang dalam usaha terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Super itu. 

Di sebalik turun dengan misi memburu kemenangan, Kedah memperagakan tempo berhati-hati pada awal saingan dan kealpaan pertahanan, Renan Alves, hampir membuatkan mereka gigit jari tetapi mujur rembatan Nor Azam Azih tepat ke arah Shahril Saa'ri. 

Bekas pemain Tok Gajah, Azamuddin Akil, membuatkan tuan rumah tersentak apabila lambungannya disambar Tchetche Kipre selain kesilapan penjaga gol, Helmi Eliza, yang cuba menerpa awal umpanan itu pada minit ke-15. 

Wakil dari utara itu cuba menambah jaringan melalui gandingan berbisa Kipre dan Kpah Sherman tetapi percubaan mereka lebih banyak tersasar. 

Skuad asuhan Dollah Salleh itu kemudian meningkatkan keamatan permainan yang menyaksikan kelincahan Faisal Halim kerap memainkan peranan menguji kubu juara Piala FA 2019 berkenaan. 

Pemain tengah, Adam Reed, membawa kelegaan buat Pahang sebelum menuju ke bilik persalinan apabila melepaskan sepakan yang menggegar gawang bagi menyudahkan ancaman awal yang dicipta Ivan Carlos. 

Jaringan kemenangan Pahang dicetuskan Faisal yang membuka larian dari sayap kanan, tetapi ia masih memerlukan kelincahan Nik Sharif Haseefy untuk mencipta peluang menarik -- seminit memasuki babak kedua -- bagi menghadiahkan kekalahan ketiga buat barisan kendalian Aidil Sharin Sahak musim ini. 

"Tahniah kepada pemain, mereka berikan yang terbaik. 

"Kami sebenarnya menguasai permainan dalam separuh masa pertama tetapi satu kesilapan daripada Helmi, mereka dapat menjaringkan gol. 

"Tetapi saya bangga dengan anak buah kerana mereka tidak berputus asa.

"Kemenangan hari ini hasil suntikan moral selepas kami mencatat seri dan kalah dalam perlawanan terdahulu," kata Dollah.

JDT kini berkelebihan enam mata berbaki dua perlawanan lagi dengan Perak (17 mata) menguasai tangga kedua diikuti Kedah (16). 

Keputusan lain:

Liga Super

SELANGOR 3 UiTM 3

Liga Perdana 

UKM 1 PULAU PINANG 2

JDT II 1 PERAK II 1

 
 

Kesebelasan utama dan aksi skuad Pahang FA menentang Kedah FA bagi perlawanan #CIMBLigaSuper2020 malam ini di Stadium Darul Makmur #PAHvKED #PahangFA2020 #DemiPahangDarulMakmur #PahangBangkit

Posted by Pahang FA on Saturday, September 26, 2020
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen