Pahang bangkit ikat Felda United di Jengka

Oleh Muzaffar Musa 20 September 2020 831
Pahang bangkit ikat Felda United di Jengka
Hasrat Felda United untuk menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan berakhir duka selepas gagal memanfaatkan kelebihan untuk diikat Pahang 2-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka sebentar tadi.

Gol sepakan penalti penyerang Import, Ivan Carlos, menyelamatkan skuad Tok Gajah itu selepas Felda United mendahului menerusi jaringan Nikola Raspopovic dan Akhmar Haiqal Azhar susulan gol awal Muslim Ahmad.

The Fighters turut kehilangan seorang pemain dalam babak-babak terakhir apabila kapten, Jasazrin Jamaludin, dilayangkan kad kuning kedua.

Pahang bermula baik dengan terlebih dahulu menguji gawang Felda United menerusi sepakan jarak jauh pemain tengah kebangsaan, Nor Azam Azih, yang sedikit tersasar pada minit ketujuh.

Larian kencang Faisal Halim dari sebelah kanan hampir menghukum penjaga gol tuan rumah, Zarif Irfan Hashimudin, yang menepis sepakan serong itu ke palang golnya.

Menerusi satu situasi kelam-kabut di depan gawang Felda United, pertahanan Pahang, Muslim, memanfaatkan keadaan itu untuk membuka jaringan hasil sepakan leretnya ke penjuru kanan bawah tiang gol lawan.

The Fighters kemudian meningkatkan asakan untuk menyamakan kedudukan tetapi skuad kendalian Nidzam Jamil itu hanya menamatkan penantian mereka pada minit ke-38 apabila Raspopovic menggunakan sepenuhnya bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol veteran Pahang, Helmi Eliza Elias, susulan sepakan penjuru Frederic Bulot.

Felda United ke bilik persalinan dengan kelebihan satu gol selepas Akhmar Haikal menyempurnakan sepakan penalti dalam waktu kecederaan babak pertama susulan insiden bola terkena tangan Nor Azam.

Bagaimanapun, kelebihan satu jaringan itu direntap Pahang dalam babak berikutnya apabila skuad kendalian Dollah Salleh itu kembali mengikat kedudukan menerusi jaringan penalti Carlos selepas bola terkena tangan Faiz Mazlan.

Felda United mencaturkan beberapa pergerakan berbahaya untuk kembali di depan tetapi perjuangan mereka tamat lebih awal sebaik ketua pasukan, Jasazrin, diarahkan keluar padang selepas menolak Nor Azam dari belakang.

Dengan keputusan itu, Pahang (10 mata) dan Felda United (tujuh), masing-masing kekal di tangga ketujuh dan kesembilan Liga Super. 



Keputusan lain:
Liga Super:
Melaka United 1 Petaling Jaya City FC 1

Liga Perdana:
Selangor II 1 Johor Darul Ta'zim FC II 6
Terengganu FC II 2 UKM FC 2
Kuching FA 2 Kelantan 0

*Kredit foto: Felda United FC

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen