Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, menuntut anak buahnya segera mengalihkan perhatian terhadap misi Liga Super apabila berdepan T-Team di Stadium Darulaman, esok.

Skuad Lang Merah terpaksa melupakan seketika pesta kemenangan Piala FA kerana perlu memberikan tumpuan kepada aksi Liga Super berdepan T-Team serta mahu membalas dendam apabila tewas 5-0 di Kuala Terengganu sebelum ini.

"Pemain-pemain sudah melupakan kekalahan tersebut. Mereka perlu memberikan tumpuan sepenuhnya bagi perlawanan ini. Kami perlu mengutip tiga mata penuh untuk terus memperbaiki kedudukan liga," kata Nidzam.

Pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) semalam telah memilih Nidzam sebagai pengendali tetap skuad Lang Merah.

Nidzam menegaskan segala-galanya adalah hasil kesungguhan pemain-pemain di atas padang mendapatkan keputusan yang diingini.

"Pihak pengurusan telah mengesahkan saya akan terus bersama pasukan sehingga penghujung musim ini. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pemain-pemain kerana mereka, saya kekal di sini."