Nidzam Adzha tidak faham mengapa Selangor terburu-buru

Oleh Muzaffar Musa 30 Mei 2020 7826
Nidzam Adzha tidak faham mengapa Selangor terburu-buru
Ketua jurulatih skuad Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff, tidak mendapat gambaran jelas berkenaan usaha Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), yang dilihat tergesa-gesa untuk mengadakan semula sesi latihan.

Bagi bekas pemain kebangsaan itu, dia lebih selesa memilih tarikh pertengahan Jun ini untuk skuad Warga Kota kendaliannya itu kembali menjalani latihan.

Dia turut mengharapkan ada kelonggaran untuk setiap pasukan menjalankan latihan selepas tamat tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pada 9 Jun ini.

"Saya tidak pasti mengapa Selangor melihat seperti itu, cuma bagi saya, kita tidak perlu terlalu cepat (untuk kembali mengadakan latihan)," katanya dalam satu perbualan telefon bersama Nadi Arena.

"Tarikh untuk memulakan (semula) liga juga memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan lagi.

"Saya fikir tempoh enam minggu sudah cukup untuk menjalankan latihan."

Mengenai persiapan Kuala Lumpur, Nidzam Adzha menambah: "Kami sudah merangka program latihan dan kalau boleh, kami mahu memulakannya pada pertengahan Jun ini.

"Tetapi kami perlu mendapatkan pengesahan daripada MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) terlebih dahulu."

Sementara itu, ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, memilih untuk mendengar arahan pihak berkuasa, khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MFL sebelum kembali ke lapangan latihan di kala pandemik Covid-19 di negara ini masih belum pulih sepenuhnya.

"Kami akan menunggu arahan daripada pihak berkuasa.

"Jika mereka katakan yang kami boleh memulakan latihan, terima kasih kepada mereka.

"Kami akan mendengar ketetapan MFL dan kami akan menuruti arahan mereka.

"Kami hanya menunggu dan melihat apa keputusan yang akan dikeluarkan MFL," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen