Pemain tengah Felda United, Danial Amier Norhisham, enggan berasa kesal dengan ikatan kontraknya bersama The Fighters walaupun ia menjadi punca peluangnya beraksi bersama gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT), tidak kesampaian.

Sebelum ini, Nadi Arena pernah melaporkan Felda meletakkan tanda harga RM1 juta buat pemain berusia 22 tahun itu selepas menerima tawaran rasmi daripada JDT.

Namun, kedua-dua pasukan itu gagal mencapai kata putus, sekali gus menyaksikan Danial Amier kekal bersama The Fighters.

"Bagi saya, jika ada rezeki, tidak ke mana. Sekarang saya bersama Felda, jadi perlu fokus di sini. Kami akan beri yang terbaik dalam baki semusim bersama Felda. Jika ada rezeki di Johor, ia takkan ke mana," katanya.

"Terasa ralat memang ada. Semua pemain di Malaysia mahu beraksi bersama JDT tetapi rezeki ada di mana-mana. Mungkin Allah sudah tulis rezeki saya bersama Felda musim ini."


Editor: Nafis Abdullah