Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais, berharap kemenangan pasukannya menundukkan Pahang, 2-0 dalam kunjungan ke Stadium Darul Makmur, malam tadi, dapat diteruskan.

"Kemenangan ini cukup bermakna buat kami, jadi saya harap pemain dapat mengekalkan momentum dalam perlawanan seterusnya," kata pengendali Portugis itu.

Usaha pendahulu Liga Super itu untuk mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super terhasil menerusi jaringan ketika permainan baru berusia seminit apabila hantaran Mohamed Ghaddar berjaya disudahkan Gonzalo Cabrera.

Begitupun, Tok Gajah cuba bangkit dengan melancarkan asakan ke kubu pelawat dalam usaha meraih gol penyamaan dan peluang terbaik tuan rumah tiba pada minit ke-27, namun tandukan Ahmad Syamim Yahya ditepis Izham Tarmizi Roslan.

Selang beberapa minit, Pahang sekali lagi berpeluang menyamakan kedudukan, namun tandukan Matheus Alves pula terkena tiang.

Dua minit sebelum rehat, JDT membuat kejutan merobek gawang Pahang buat kali kedua, tetapi jaringan Ghaddar dibatalkan kerana terlebih dahulu mengasari Heo Jae-won.

Pada minit ke-62, giliran gawang JDT bergegar, namun tandukan Alves hasil hantaran Nor Azam Azih dibatalkan gara-gara ofsaid.

Sisa perjuangan Pahang untuk mendapatkan gol akhirnya musnah empat minit sebelum wisel penamat apabila hantaran Safiq Rahim berjaya disudahkan Natxo Insa.

"Walaupun tewas 2-0, corak permainan pasukan Pahang betul-betul menggembirakan saya," kata jurulatih Pahang, Dollah Salleh.