Selangor gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri walaupun pelbagai percubaan menarik dilakukan bagi membolosi gawang yang dikawal ketat penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Jelasnya, dalam perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadim UiTM semalam, Selangor mempunyai peluang untuk menghasilkan gol namun peluang tersebut tidak dimanfaatkan bahagian jentera serangan skuad kendaliannya.

Sathianathan turut menegur tindakan pengadil dalam melakukan pengadilan, yang baginya dianggap tidak adil terutama ketika waktu tambahan.

"Anda hanya memberi masa tambahan empat minit dan dalam masa sama, ada pemain yang jatuh, cuba melengahkan permainan. Saya tidak faham dengan situasi itu. Itu tidak termasuk pertukaran pemain dan lain-lain," katanya dalam sidang media pasca-perlawanan, semalam.



"Jika melengahkan permainan dengan menjatuhkan badan di atas padang, saya juga akan memberitahu pemain saya untuk melakukan perkara yang sama. Mengapa? Ia dilihat sebagai kelebihan bukan?

"Ada dalam situasi ini memberi kelebihan (untuk pasukan tertentu). Sekiranya pengadil adalah sangat tegas, tidak ada pemain yang akan ambil kesempatan. Ia membunuh permainan.

"Oleh itu, saya berharap pengadil mempunyai keberanian dalam mengatur masa perlawanan dengan betul. Saya hanya membantu untuk meningkatkan bola sepak dan saya tidak bercakap buruk tentang mereka,” katanya.

Selangor bakal menentang Sabah dalam perlawanan seterusnya Jumaat ini dalam misi memburu kemenangan pertama mereka selepas Liga Super ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara.