Pendatang baru Liga Super, MIFA, bakal dijenamakan semula sebagai menyahut seruan Pengerusi Malaysian Football League (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang tidak mahu penggunaan nama kaum dalam mana-mana pasukan.

Setiausaha Agung MIFA, K. Anpananthan, memberi bayangan akan ada perubahan besar berlaku dalam kelab itu menjelang musim depan.

Antara kelainan yang akan ditampilkan MIFA ialah perubahan nama pasukan yang bakal diumumkan minggu depan.

Menurut Anpananthan, perubahan itu penting dalam meraih sokongan lebih luas daripada pelbagai kaum.

"Kami mahu berterima kasih kepada Tunku Ismail kerana memberikan kepercayaan kepada pasukan ini.

"Kami telah berjumpa beliau untuk menerangkan tentang perkembangan pasukan ini dan beliau bersetuju untuk merestui kami beraksi dalam Liga Super.

"Kami menerima cadangan untuk tidak lagi menjadikan pasukan ini sebagai pasukan yang mewakili kaum (India).

"Kami akan melakukan penjenamaan semula dan lebih ke arah korporat," katanya.

Mengenai cabaran dalam Liga Super, Anpananthan memberi jaminan kewangan pasukan itu kini berada pada tahap terbaik dengan kemasukan penaja baru dan isu tunggakan gaji pada musim ini juga hampir diselesaikan.

Mereka tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi dan mencuba untuk sekurang-kurangnya mengekalkan pasukan itu dalam liga berkenaan.

"Beraksi dalam Liga Super merupakan visi kami sebelum ini.

"Kami beraksi baik dalam Piala Malaysia dan barisan pemain layak dipuji.

"Bagi musim depan pula, kami tidak mahu sekadar menjadi pasukan pelengkap kerana mempunyai komitmen dengan pihak penaja.

"Kami akan meletakkan sasaran yang akan menjadi pembakar semangat kepada pasukan," tambahnya.