Selepas dua musim beraksi dalam Liga Super, PKNP FC terpaksa menerima hakikat untuk kembali ke kancah Liga Perdana susulan kekalahan 0-1 kepada Petaling Jaya (PJ) City FC dalam perlawanan terakhir liga di Stadium MBPJ, malam tadi.

Pertemuan itu ibarat aksi final buat PKNP kerana hanya kemenangan mampu memastikan pasukan itu kekal bersaing dalam kelompok elit musim depan.

Namun, barisan kendalian Abu Bakar Fadzim itu gagal mempamerkan keghairahan untuk memenangi perlawanan sekali pun berpeluang meraih jaringan menerusi Giancarlo Rodriguez pada minit ke-17.

Pelawat, yang gagal menghasilkan gol pada babak pertama, bangkit dengan memperkemaskan rentak permainan dalam babak berikutnya dalam usaha memecah kebuntuan jaringan.

Namun, situasi sebaliknya berlaku apabila tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti susulan bola terkena tangan pertahanan, Filemon Anyie Standly.

Peluang itu nyata tidak disia-siakan Washington Dos Santos untuk meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-75.

PKNP yang terdesak memerlukan kemenangan kemudian cuba bangkit pada penghujung permainan, namun usaha mereka menemui jalan buntu.

"Aksi bertemu PKNP ini berbeza berbanding ketika kami bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Ini kerana JDT menerapkan corak hantaran rendah dan pendek manakala dalam aksi malam ini (tadi), PKNP kerap menggunakan hantaran jauh.

"Kami sedar perlu bertahan dan kami sudah bersedia menanganinya," kata jurulatih PJ City, K. Devan, dalam sidang media pasca-perlawanan.

Pembantu jurulatih PKNP, Chan Wing Hoong, pula dengan nada kecewa mengulas: "Kami kecewa mentaliti kemenangan gagal dijelmakan barisan pemain.

"Ia belum cukup untuk kami memenangi perlawanan ini, bahkan jentera serangan juga tumpul," katanya.