Selepas mencatatkan dua kemenangan berturut-turut, Melaka semakin optimis untuk memastikan ini musim terbaik mereka dalam kancah Liga Super, sementara Terengganu sudah mula mencongak strategi untuk mengharungi perlawanan menentang penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu hadapan.

Pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan, mendedahkan dia mengambil masa dua bulan bersama staf kejurulatihan untuk mengubah mentaliti skuad kancil, daripada berada di kelompok penyingkiran kini sudah mendaki ke tangga ketiga liga, hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu, jaringan Uche Agba pada minit ke 60 semalam.

Sejak dinaikkan ke saingan Liga Super daripada Liga Perdana pada 2017, Melaka tidak pernah menamatkan saingan dalam kelompok atasan, dengan pencapaian terbaiknya hanyalah menduduki tangga keenam musim lalu.

"Saya tidak menafikan memang terdapat pendekatan strategi yang drastik telah dilakukan dan ia mampu mengubah kedudukan pasukan. Saya sangat bersyukur telah berusaha selama dua bulan dan mula menampakkan hasil," kata Zainal.

Di kem Terengganu, anak-anak buah Nafuzi Zain berputih mata untuk terus memberikan tekanan buat pendahulu, JDT yang kini melebarkan jurang menjadi enam mata.

Apatah lagi Nafuzi juga turut terkejut apabila JDT mengamuk membelasah Perak 7-0,dan mahu mengelak nasib sama apabila mereka juga bakal bertandang ke Iskandar Puteri minggu hadapan.

"Bagi saya, JDT menang dengan keputusan 7-0 adalah perkara yang biasa. Tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik. Kami mempunyai tempoh seminggu untuk membuat persiapan berdepan mereka," kata Nafuzi.