Pasukan Melaka United menjangkakan pemain kebangsaan, Amri Yahyah, akan membuat keputusan dalam tempoh 24 jam ini untuk menerima tawaran beraksi bersama pasukan itu musim hadapan.

Amri dikaitkan dengan perpindahan ke Melaka apabila khidmatnya tidak disambung Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas tiga musim bersama pasukan Harimau Selatan itu.

Malah, pengurus pasukan Melaka, Datuk Yusoff Mahadi, tidak berselindung dengan menyatakan pihaknya sudahpun berbincang dengan Amri.

Tambah beliau, Amri sudah diberikan tawaran yang difikirkan sesuai dan kini hanya menanti kata putus pemain berpengalaman dari Tanjong Karang, Selangor itu.

"Pada dasarnya, macam ada persetujuan. Cuma ada syarat-syarat yang saya perlu bincang dengan presiden. Tetapi, secara umumnya dia pun berminat untuk menyertai Melaka pada musim hadapan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berpuas hati dengan persiapan skuad kendalian Eric Williams itu untuk menghadapi Liga Super 2017.

Katanya, senarai utama pasukan sudah hampir lengkap buat pemain tempatan kecuali tonggak import, Ilija Spasojevic, yang diberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk menentukan masa depannya.

Selain itu, beberapa aksi persahabatan juga telah diatur, antaranya membabitkan pertemuan dengan pasukan Felcra FC, Kuala Lumpur dan juga Negeri Sembilan sepanjang Disember ini.

"Jadi, itu tiga perlawanan persahabatan yang telah kami aturkan, kemudian kami akan diuji dengan pasukan yang setanding yang kami fikirkan sesuai.

"Tiga perlawanan di peringkat awal ini bertujuan untuk kami mengenal pasti prestasi pemain."