Selepas tiga bulan tanpa sebarang aksi susulan penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebimbangan penularan COVID-19, Melaka United akan kembali menjalani latihan mulai Isnin depan (22 Jun).

Keputusan itu diambil setelah pemain dan pegawai pasukan skuad Sang Kancil, yang dibahagikan kepada dua kumpulan, menjalani ujian swab COVID-19 di Stadium Hang Jebat, semalam, yang dijalankan oleh pasukan perubatan diketuai doktor pasukan Dr A. Adeeban.

Melaka United dalam kenyataan hari ini, memaklumkan ujian berkenaan antara langkah awal wajib dipenuhi, sebelum pasukan dibenarkan kembali ke padang bagi menjalani latihan mengikut prosedur standard operasi (SOP), yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada saringan kesihatan itu, Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), turut berkesempatan meninjau proses tersebut.

Beliau turut meluangkan masa kira-kira 30 minit bagi meninjau operasi persatuan serta bertemu pemain, pegawai Melaka United, serta warga kerja persatuan di Wisma MUSA, menurut kenyataan itu.

Dalam kunjungan itu, Sulaiman meminta warga MUSA khususnya pemain, untuk kekal bersama pasukan biarpun liga bola sepak tempatan musim ini terjejas berikutan penularan pandemik COVID-19.

Katanya, selaku presiden persatuan itu, beliau juga akan memastikan suntikan kewangan yang mencukupi untuk bola sepak Melaka, biarpun ekonomi dunia turut terkesan dengan COVID-19 ketika ini.

Beliau yakin segala masalah dan kekangan kewangan yang dihadapi persatuan akan dapat diselesaikan secepat mungkin, selain meminta pemain memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak persatuan untuk menyelesaikannya.

-- BERNAMA