Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, mahu posisi jentera serangan dan pertahanan The Bos Gaurus diperkukuhkan bagi kempen Liga Super, musim depan.

Berdasarkan rekod musim ini, jumlah bolos melebihi jumlah jaringan dan perkara itu perlu dilihat dan diperbaiki.

"Musim depan, semuanya bergantung kepada strategi jurulatih dan kesesuaian pasukan. Kebanyakan pemain akan dikekalkan. Hanya segelintir pemain akan digugurkan serta mereka yang tamat kontrak.

"Namun, saya tidak nafikan ada tawaran daripada beberapa pemain luar. Oleh itu, kami kena kaji dahulu. Semua masih dalam peringkat perundingan lagi," katanya.

Abdul Puhat juga menambah dua pemain import baru akan dibawa masuk berikutan pemain import sedia ada, Yashir Pinto, masih mengalami kecederaan manakala Thiago Junior Aquino ada menyuarakan hasrat untuk bersara.

"Oleh itu, saya rasa kata putus mengenai skuad The Bos Gaurus dapat diselesaikan dalam masa dua minggu lagi," ujarnya.