Pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel, masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan kelibat pemain walaupun mengatasi PKNS FC 1-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.

Bagi Maciel, pasukannya beraksi baik pada babak pertama dengan berjaya meraih gol tunggal perlawanan menerusi pemain pertahanan, Hishamudin Saari, pada minit ke-33.

Namun, rentetan peluang gol gagal disudahkan pemain Kuala Lumpur selepas itu, termasuk dalam babak kedua.

"Sesetengah pemain harus meningkatkan usaha dan saya akan cuba mempertingkatkan setiap aspek dalam sesi latihan. Ini kerana kami mempunyai sistem dan corak permainan yang tersendiri. Jadi, pemain harus menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan," kata Maciel.

Sementara itu, pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal, turut menguji pemain sayap Singapura, Faris Ramli, semalam.

Bekas pengendali kebangsaan itu tampak mahu terus memberi peluang buat Faris sebelum memutuskan sama ada mengambilnya atau tidak sebagai awang import untuk musim 2018.

"Walaupun kami mengetahui Faris memiliki pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan Singapura, kami akan terus menilai persembahannya dalam aksi seterusnya," kata Rajagobal.