Luqman Hakim beri bayangan kekal di Selangor?

Oleh Muzaffar Musa 25 Jun 2020 5708
Luqman Hakim beri bayangan kekal di Selangor?
Rasa cinta penyerang muda sensasi, Luqman Hakim Shamsudin, untuk membantu skuad B-19 negara layak ke Piala Dunia B-20 tahun cukup jelas.

Jika itu yang menjadi keutamaan pemain kelahiran Kelantan berkenaan, ia secara tidak langsung memberikan bayangan awal berkenaan masa depannya, sama ada mahu kekal bersama Selangor II atau berhijrah ke kelab Liga Belgium, K.V. Kortrijk.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Nadi Arena hari ini, Luqman Hakim berkata: "Buat masa ini, segala-galanya masih dalam perancangan, jadi ia sekarang ini tertumpu kepada pihak atasan.

"Setiap pemain mesti ada cita-cita, fikiran utama saya mestilah untuk bersama dengan skuad B-19 negara.

"Sebelum ini, saya banyak bermain bersama mereka (skuad B-19), jadi kalau boleh, saya masih mahu bermain bersama mereka.

"Setiap pemain pasti mahu pasukannya layak (ke Piala Dunia).

"Saya juga berharap seperti itu, saya mahu layak ke Piala Dunia bersama-sama mereka," katanya.

Berita mengenai perpindahan Luqman Hakim ke kelab Liga Belgium itu menjadi topik utama yang digembar-gemburkan sejak kebelakangan ini.

Pada hakikatnya, pemain berusia 18 tahun itu masih memerlukan banyak pendedahan dan pengalaman untuk menjadi aset terbaik negara pada masa akan datang.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen