Liga Thailand ingin kumpul pemain terbaik ASEAN 

Oleh Shaiful Shamsudin 8 Oktober 2020 3330
 Liga Thailand ingin kumpul pemain terbaik ASEAN 
Tatkala Luqman Hakim Shamsudin dan Safawi Rasid menjadi tumpuan orang ramai dengan penghijrahan mereka ke Eropah, tiga lagi pemain dari Malaysia termasuk Mohamadou Sumareh kini dilihat sebagai aset penting buat ekosistem bola sepak Thailand. 

Sumareh, yang baru-baru ini menyertai Police Tero, mula menarik perhatian penyokong tegar di negara itu dan menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Thailand, Benjamin Tan,

Ketibaan Sumareh juga dilihat sehaluan dengan aspirasi Benjamin untuk melihat Liga Thai sebagai destinasi pemain-pemain terbaik di Asia Tenggara. 

"Bukan sahaja peminat, saya juga teruja kerana ia sebahagian daripada strategi saya untuk membawa masuk pemain terbaik di rantau ini untuk beraksi di sini, 

"Sumareh akan tamat tempoh kuarantin dan kami tidak sabar-sabar lagi untuk melihatnya beraksi.

"Kami sangat mengalu-ngalukan atlet terbaik untuk beraksi di sini, kami ingin mengumpul pemain terbaik di Asia Tenggara," katanya ketika dihubungi wartawan Astro Arena, Keeshanan Sundaresan. 

Benjamin juga mendedahkan bahawa kehadiran pemain-pemain terbaik di rantau ini mampu meningkatkan lagi nilai komersil dan hak penyiaran Liga Thai.

Selain ingin melihat lebih ramai pemain Malaysia berhijrah ke sana, Benjamin turut berharap kelab-kelab Thailand akan mula menarik perhatian syarikat-syarikat di Malaysia dalam bentuk penajaan. 

"Kami sedang berusaha meningkatkan aspek komersial terhadap negara-negara jiran termasuk melakukan ulasan perlawanan Liga Thailand dalam bahasa tempatan. 

"Dengan langkah mengikat pemain Malaysia, ia dapat meningkatkan penjualan cenderahati selain dapat menjalinkan kerjasama dengan syarikat Malaysia pada masa depan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen