Liga Super: Kuala Lumpur mampu capai sasaran

Oleh Penulis Jemputan 31 Oktober 2017 421
Liga Super: Kuala Lumpur mampu capai sasaran
Pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel, berasakan sasaran berada dalam kelompok lima terbaik Liga Super musim depan mampu dicapai, namun skuad warga kota itu perlu diperkuatkan lagi dengan beberapa pemain berpengalaman.

Marciel mengakui pihak pengurusan The City Boys kini dalam rundingan dengan beberapa pemain berpengalaman untuk saingan musim depan.

Pengendali kelahiran Brazil ini menjangkakan lima atau enam muka baru berpengalaman akan memperkuatkan barisan skuad warga kota musim depan.

"Kami memiliki sebuah pasukan yang bagus. Kami perlu memantapkan lagi pasukan ini bagi menghadapi saingan Liga Super. 

"Kami kini dalam perbincangan dengan pemain dan pengurusan untuk membawa masuk lima lagi muka baru," kata jurulatih dari Brazil itu. 

Sasaran menduduki lima tempat teratas Liga Super diumumkan penaung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dalam majlis penerimaan trofi Liga Perdana 2017, hari ini.

Sementara itu, ayam tambatan Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, yang menjaringkan 27 gol musim ini mengesahkan akan kekal bersama pasukan itu musim depan.

Berbekalkan pengalaman dalam saingan Liga Super bersama Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini, De Paula optimis tiada masalah buatnya bersaing dengan kelompok elit Liga Malaysia musim depan.

"Saya sudah melanjutkan kontrak dan akan terus bersama jurulatih. Saya sangat gembira. 

"Saya pernah bermain bersama Selangor dan PDRM dalam Liga Super. Tiada masalah bagi saya (menyesuaikan diri) ,” katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen