Kemeriahan saingan hari terakhir musim 2017 tidak lagi tertumpu kepada kejuaraan liga, sebaliknya persaingan untuk dua kedudukan terakhir bagi mengisi slot beraksi dalam Liga Super musim depan menjadi perhatian.

Dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dinobat sebagai juara Liga Super sebelum minggu terakhir saingan, penentuan dua slot terakhir ke Liga Super bagi musim 2018 dilihat lebih menjadi perhatian serta perbualan peminat bola sepak tanah air.

Ternyata kebangkitan Kelantan ke atas Melaka United untuk meraih kemenangan 3-1 bagi memastikan mereka terus bersaing dalam Liga Super harus diberi pujian selepas pasukan itu melewati waktu sukar sepanjang 2017 menerusi pelbagai isu dan membabitkan pengurusan pasukan.

Rata-rata menyifatkan kehadiran presiden baru Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, menjadi pemangkin The Red Warriors untuk mencipta kemenangan.

“Sebenarnya, Kelantan memiliki pemain-pemain yang berkualiti dan berpengalaman bagi memastikan mereka kekal dalam saingan Liga Super,” kata pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri.

2017 juga gagal membuktikan kualiti pemain negara melewati perubahan seperti yang direncanakan barisan kepimpinan baru bola sepak kebangsaan.

Hakikatnya, kualiti pemain tempatan masih pada tahap yang sama membabitkan semua pasukan dan hanya dibezakan dengan kehadiran pemain-pemain import.

“Untuk pemain-pemain tempatan membantu pasukan adalah berada pada tahap yang sama. Apa yang membezakan mereka dalam kehadiran pemain-pemain import memberikan kelebihan buat mereka,” ujarnya.