Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ke-22 semalam telah membuat keputusan untuk meminda tarikh mula Liga Malaysia iaitu 28 Ogos ini.

Keputusan MFL untuk mengubah kalendar baharu itu dibuat selepas pengendali Liga Malaysia tersebut mengambil kira pelbagai faktor susulan penundaan tarikh pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, penetapan tarikh baharu kalendar pertandingan MFL adalah tertakluk kepada tarikh perlawanan peringkat domestik, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

Jelasnya lagi, MFL yakin bahawa pindaan tarikh sepak mula itu sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada pasukan bertanding yang hanya akan bermain di hujung minggu dan memiliki tempoh rehat serta persiapan lebih lama.

“Perancangan kalendar baharu telah mengambil kira perkara –perkara seperti penundaan tarikh Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, tarikh baharu Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang bermula 17 Oktober sehingga 4 November depan melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan penundaan kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 berdasarkan kenyataan rasmi AFF bertarikh 30 Julai 2020.

“Dalam masa sama, MFL optimis bahawa pindaan tarikh ini akan menyaksikan setiap pasukan akan mempunyai tempoh rehat dan perjalanan yang lebih panjang lebih fleksibel di antara empat sehingga enam hari.

“Apa yang pasti, susulan daripada penundaan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, MFL juga memiliki tarikh-tarikh simpanan di antara 10 hingga 29 November 2020 sekiranya isu COVID-19 masih berlanjutan dalam negara kita.

“Perlawanan Liga Malaysia musim 2020 tetap dilaksanakan seperti yang dirancang untuk menentukan pemenang liga secara rasmi bagi kelayakan AFC, ACL dan AFC Cup 2020,”
katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Terdahulu, MFL sebelum ini mengumumkan bahawa Liga Malaysia kembali bersambung pada 26 Ogos 2020 selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.

Bagi aksi perlawanan tertunda iaitu aksi CIMB Liga Super yang menemukan PJ City FC menentang Terengganu FC serta perlawanan Liga Premier UKM FC bertemu Kelantan kekal
seperti yang dijadualkan sebelum ini iaitu pada 22 Ogos 2020.

Berkenaan venue Kuching FA dan Sarawak United FC akan diumumkan dalam tempoh terdekat ekoran penularan wabak COVID-19 yang masih aktif di negeri itu.

Sementara itu, Dato’ Ab Ghani menegaskan bahawa tiada penyingkiran buat pasukan berstatus Liga Premier pada musim ini selepas menyaksikan Amateur Football League (AFL) telah mengambil keputusan untuk membatalkan saingan Liga M3 musim 2020 pada 8 Jun 2020.

“Tiada penurunan dari pasukan Liga Premier pada musim ini tetapi format biasa iaitu dua pasukan menduduki menduduki tangga ke-11 dan 12 dari CIMB Liga Super (turun ke Liga Premier) dan dua pasukan teratas Liga Premier (naik ke CIMB Liga Super) kekal seperti biasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dato Ab’ Ghani mendedahkan perubahan tarikh TM Piala Malaysia turut berlaku disebabkan pindaan kalendar baharu Liga Malaysia.

Jelas Dato Ab Ghani, TM Piala Malaysia akan membuka tirai bermula pusingan 16 pasukan pada 16 sehingga 18 Oktober 2020 disusuli aksi suku akhir (24 dan 25 Oktober 2020), separuh akhir (30 dan 31 Oktober 2020) dan perlawanan akhir pada 7 November 2020.