Jika sebelum ini, pemain skuad Sabah hanya menghantar video latihan masing-masing kepada jurulatih, kini mereka mengubah cara dengan berlatih bersama walaupun daripada kediaman masing-masing.

Dengan menggunakan salah satu aplikasi media sosial, latihan skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu lebih meriah serta mempunyai jadual tetap pada setiap hari.

"Setakat ini, semua pemain sangat profesional, mereka melakukan semua program latihan yang diberikan para jurulatih dan dengan berlatih bersama juga, mereka akan lebih faham setiap gerakan atau senaman yang kita mahu.

"Para pemain juga tidak pernah mengeluh dengan program latihan yang kita buat sekarang, kita tahu ini masa-masa yang sukar untuk seluruh dunia, tetapi sebagai pasukan profesional kita harus lakukan yang terbaik untuk menjaga kecergasan," kata Kurniawan ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, semalam.

Kurniawan turut berharap, para pemain akan tetap fokus dengan kerjaya sebagai pemain bola sepak dengan melakukan senaman semaksimum yang boleh.

"Ketika ini, mereka berada di rumah masing-masing bersama keluarga jadi mereka 'fresh' dan apabila tiba saat masuk keadaan normal nanti, mereka akan kembali dengan semangat baru dan 'laparkan' pretasi," katanya lagi.

Sementara itu, pengurus pasukan, Henry Soimpon ketika dihubungi berkata, beliau puas hati dengan disiplin yang ditunjukkan para pemain walaupun sekadar berlatih daripada rumah.

"Saya juga memantau latihan yang dijalankan pemain dengan dibimbing oleh para jurulatih dan mereka melakukannya dengan baik.

"Semua orang rindukan padang bola, tapi kita terpaksa akur dengan keadaan semasa, marilah kita sama-sama berdoa agar masalah Covid-19 yang melanda hampir seluruh dunia ini akan selesai dan kita dapat menikmati bola sepak seperti biasa," katanya.