Ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto, menyifatkan anak buahnya kurang keyakinan dan terlalu takut untuk melakukan kesilapan sehinggan terikat 0-0 dengan PDRM dalam perlawanan Liga Super di Stadium KLFA semalam.

Pengendali itu, yang dipertanggungjawabkan untuk mengemudi skuad Liga Super Sabah musim ini, mengakui pasukannya gagal mempamerkan aksi sebenar memandangkan ramai pemain muda mereka yang masih gugup.

Ia disulitkan lagi dengan aksi kukuh pertahanan tuan rumah yang menyukarkan mereka untuk mencipta peluang.

"Tentang perlawanan ini, saya rasa ia masih belum maksimum.

"Kerana saya tahu prestasi sebenar mereka seperti sewaktu perlawanan pramusim di Indonesia.

"Mungkin kerana ini baru perlawanan pertama dan ada antara mereka yang masih belum yakin sehingga melakukan banyak kesilapan individu," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad, berasakan lima pemain import yang diturunkan Sabah menjadi penghalang untuk mereka merakamkan kemenangan di laman sendiri

"Liga masih panjang dan saya rasa kami berada di landasan yang betul.

"Perkara utama adalah kami pelu mula percaya bahawa kami boleh melakukannya.

"Jika anda dapat lihat, tujuh daripada pemain saya merupakan anggota (polis).

"Mereka telah memberikan yang terbaik," katanya.