Hanya 19 peratus memisahkan peluang Kuala Lumpur untuk memperoleh lesen kelab daripada Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super, musim depan.

Setakat ini, hanya dua daripada enam aspek masih belum dipenuhi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), iaitu infrastruktur dan kesukanan.

Menurut Setiausaha KLFA, Nokman Mustaffa, secara keseluruhannya mereka sudah pun memenuhi 81 peratus kriteria yang ditetapkan.

Halangan utama Kuala Lumpur ketika ini ialah kerja menaik taraf Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras yang masih belum selesai dan dijangka akan berlarutan sehingga penghujung bulan depan.

"Masih ada sedikit lagi aspek kesukanan yang perlu dipenuhi.

"Kami masih perlu mengkaji program akar umbi serta sekolah-sekolah yang akan terlibat nanti," katanya.

Skuad The City Boys itu mengesahkan kedudukan di tangga kedua teratas, Selasa lalu, selepas menewaskan Sabah 2-0 dan yakin mampu mendapatkan lesen kelab daripada FAM selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Jelas Nokman, mereka berharap pihak FAM mampu memberikan sedikit kelonggaran dalam soal ini jika berlaku kelewatan di pihak KLFA.

"Kami cuma minta FMLLP memberi peluang.

"Ada sesetengah perkara tidak boleh diambil mudah kerana ia membabitkan hak orang lain (stadium).

"Aspek kemudahan yang menyekat kami untuk memenuhi 100 peratus kriteria itu," katanya lagi.