Pertahanan import PDRM FA, Souleymane Konate, sedia merantai kelincahan dua penyerang import Kedah, Shane Smeltz dan Thiago Augusto, bagi memastikan laluan The Cops ke pentas akhir Piala Malaysia tidak terjejas.

Pemain berasal dari Mali itu berharap mereka sekurang-kurangnya mampu menang 1-0 pada aksi kedua di Stadium Hang Jebat, pada Sabtu ini.

Namun, tugas berkenaan bukan mudah buat Konate dan rakan-rakan pertahanan yang lain kerana mereka perlu memastikan Kedah tidak meraih sebarang jaringan di tempat lawan.

"Penyerang PDRM di tahap bagus ketika ini, begitu juga dengan benteng kami.

"Insya-Allah kami akan menang di Melaka nanti biarpun dengan keputusan 1-0," tegas bekas pemain Al-Hilal itu.

Biarpun ramai yang melabelkan PDRM sebagai sebuah skuad yang sederhana, Konate yang kali pertama beraksi dengan PDRM tahun ini berasa gembira dengan pencapaian The Cops.

Justeru, dia tidak nampak mengapa PDRM tidak boleh mengucup trofi Piala Malaysia pada musim ini.

"PDRM sebuah pasukan yang bagus.

"Kami berjaya mara ke separuh akhir Piala Malaysia, insya-Allah kami juga akan cuba mengalahkan Sarawak (dalam aksi Liga Super)."

PDRM kini berada satu tangga di atas Pahang dan Pulau Pinang dalam zon penyingkiran menjelang aksi terakhir Liga Super.