Jaringan tunggal R. Kogileswaran ketika perlawanan berbaki tujuh minit memastikan kemenangan berpihak kepada skuad B-23 negara yang menjalani aksi persahabatan dengan Universiti Honam, petang tadi.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu kini berada di Mokpo, Korea Selatan, dalam rangka persiapan akhir skuad B-23 negara sebelum mengharungi pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China, bulan depan.

Kim Swee membawa seramai 26 pemain dalam kunjungan ke Korea itu sebelum bertindak menggugurkan tiga pemain lagi untuk melengkapkan senarai akhir ke kejohanan itu nanti.

Dua hari lalu, skuad remaja negara diikat 1-1 oleh Mokpo City dan perlawanan ujian terakhir bakal membabitkan pasukan Jeonju Citizen, empat hari lagi.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Iran, Jordan dan Arab Saudi akan membuka kempen pada 10 Januari nanti di Changshu, China.