Kipre sah kekal tunjangi Sang Penyu 

Oleh Staff Writer 28 April 2019 4379
 Kipre sah kekal tunjangi Sang Penyu 
Jodoh Tchetche Kipre dengan Terengganu kembali bertaut ketika dia terus mengatasi ketumpulan di hadapan gawang untuk membantu kebangkitan 2-1 skuad Peteh ketika menentang PJ City FC.

Golnya pada minit ke-79 di Stadium MBPJ, malam tadi, merupakan jaringan ketiganya dalam dua aksi terakhir Liga Super.

Terdahulu, dia meledak dua gol ketika menentang Felda United, 19 April lalu, untuk memadam kemarau jaringan dalam sembilan aksi Liga Super.

Bagi penyerang kelahiran Ivory Coast berkenaan, dia tidak pernah meragui kemampuannya untuk keluar daripada krisis prestasi meskipun dilucutkan peranan sebagai ketua pasukan.

"Saya hilang keyakinan terhadap diri sendiri. 

"Saya tahu kemampuan sebenar ketika melalui hari yang baik. 

"Malam ini (tadi), saya mungkin boleh menjaringkan lebih dua atau tiga gol lagi tetapi saya tidak bernasib baik.

"Bagaimanapun, saya berasa gembira apabila melakukan jaringan dan membantu kemenangan pasukan. Inilah perkara paling penting buat saya," kata Kipre. 

Dalam masa sama, pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, nyata lebih berpuas hati dengan peranan keseluruhan Kipre sambil menegaskan penyerang itu akan kekal dalam perancangan skuad Peteh setelah terbit cadangan untuk menggantikan khidmatnya.

"Dia telah mula bermain seperti mana corak permainan asalnya. 

"Dia kelihatan selesa ketika membuat kawalan bola. Dia membuat tujuh percubaan pada malam ini tetapi itu soal kedua.

"Sesetengah pemain ada yang lapan sehingga sembilan perlawanan tidak menjaringkan sebarang gol tetapi persembahan Kipre mula meningkat naik dalam tiga perlawanan terakhir, termasuk ketika kami kalah kepada Kedah. 

"Oleh itu, Kipre akan kekal," jelas Irfan.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen