Kelantan enggan mengibar bendera putih dalam misi mereka untuk kekal dalam Liga Super sekalipun turun ke zon penyingkiran dengan ketinggalan satu mata di bawah Sarawak.

Kelantan nyata gagal memanfaatkan peluang di laman sendiri selepas seri tanpa jaringan dengan PKNS FC manakala Sarawak mencipta kebangkitan menakjubkan untuk menewaskan Kedah 4-2 di Stadium Negeri, semalam.

Ini bermakna selepas 21 perlawanan, Kelantan memiliki 19 mata dalam zon penyingkirakn sambil Sarawak memintas mereka dengan 20 mata.

Aksi terakhir liga pada 21 Oktober ini bakal menyaksikan Kelantan bertandang ke Melaka, sebaliknya Sarawak akan beraksi di laman sendiri menentang T-Team.

"Dua-dua pasukan perlu menang. Kalau kami menang, Insya-Allah, kami boleh melayakkan diri lagi ke Liga Super. Kami tidak akan menyerah kalah sehingga perlawanan terakhir.

"Kami akan berjuang, manalah tahu nasib menyebelahi kami. Dalam bola sepak, semua boleh berlaku," kata jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail.

Bagaimanapun, Kelantan perlu berterima kasih kepada penjaga gawang mereka, Khairul Fahmi Che Mat, yang menyelamatkan dua percubaan berbahaya PKNS pada 10 minit terakhir separuh masa pertama menerusi percubaan Patrick Ronaldinho dan Safee Sali.

Kelantan juga perlu segara memantapkan jentera serangan, terutama terhadap Alessandro Celin dan Morgaro Gomis, yang mempersiakan peluang di penghujung perlawanan, andai mahu menewaskan Melaka nanti.

"Pemain bermain begitu tertekan kerana mereka memerlukan kemenangan dan ia adalah harapan semua rakyat Kelantan.

"Mereka mungkin tidak dapat menuruti arahan yang diberikan kerana tertekan untuk mencari kemenangan. Itu sahaja," tambah Zahasmi.