Pahang sudah sah mengekalkan tempatnya dalam Liga Super musim 2017 – terima kasih kepada keputusan Jawatankuasa Tatatertib, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat malam tadi.

FAM, dalam satu kenyataannya hari ini, mengumumkan Pahang diberi kemenangan percuma 3-0 selepas Kedah didapati menurunkan pemain yang tidak layak bermain, Mohd Rizal Mohd Ghazali, dalam perlawanan Liga Super, 3 Ogos lalu.

Mohd Rizal sepatutnya digantung secara automatik akibat menghimpun kad kuning ketiganya dalam perlawanan terdahulu.

Kenyataan FAM itu berbunyi:Kedah dilucutkan hak bagi perlawanan Liga Super 2016 menentang Pahang pada 3 Ogos 2016 yang telah berlangsung di Stadium Darulaman, Alor Setar, dan pasukan Kedah dikira telah kalah dalam perlawanan tersebut dengan jaringan Kedah 0-3 Pahang.

"Kedah juga didenda sebanyak RM5,000 dan diberikan amaran keras serta hukuman yang lebih berat bakal dikenakan jika mereka didapati mengulangi kesalahan yang sama."

Persatuan Bolasepak Kedah telah didapati bersalah kerana melanggar ‘Artikel 71(c) Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Obligasi Pasukan’ dan dibaca bersama dengan ‘Artikel 57.1 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘ketidaklayakan’ dan dijatuhkan hukuman.

Dalam perlawanan asal pada 3 Ogos itu, Kedah mengalahkan Pahang 1-0.

Namun, dengan tiga mata tambahan yang diberikan, Pahang yang berada di tangga ke-10 dengan 20 mata, kini melonjak ke tangga kelapan dengan 23 mata, dengan berbaki perlawanan terakhirnya menentang T-Team di tempat lawan, Sabtu ini.

Kedudukan terbaru itu bermakna Pahang tidak mampu lagi dipintas oleh sama ada Pulau Pinang atau Terengganu yang mengisi dua tangga terbawah untuk skuad Tok Gajah itu kekal dalam Liga Super musim depan.

Kedah pula kekal di tangga ketiga dengan mengumpul 34 mata, selepas ditolak tiga mata.