Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, terkejut dengan tahap kecergasan pemainnya walaupun masing-masing baru sahaja kembali daripada berehat panjang sempena menghadapi musim baru tahun depan.

Faktor kecergasan menjadi keutamaan Sathianathan dalam sesi latihan pra-musim Selangor menjelang Liga Malaysia 2020.

Mengadakan ujian kecergasan terhadap skuad Merah Kuning hari ini, jurulatih berumur 61 tahun tersebut teruja dengan komitmen tinggi pemainnya untuk merebut tempat.

Ini selepas mereka menunjukkan tahap kecergasan terbaik walaupun baru sahaja bersama pasukan beberapa hari lalu.

"Muka baru semuanya melepasi ujian kecergasan, itu yang saya rasa bangga kerana berdasarkan pengalaman (saya mengendalikan) banyak pasukan, ramai pemain yang datang 'kosong'.

"Tetapi kali ini saya lihat mereka semua sudah membuat kerja rumah, ini memudahkan kami," katanya di Kelana Jaya.

Selangor akan memulakan siri perlawanan persahabatan untuk menghadapi musim baru liga dengan menentang kelab amatur, PIB FC, Sabtu ini.

Mereka kemudian akan menyertai Kejohanan Cabaran Asia 2020 pertengahan bulan depan sebelum berlepas ke China apabila terlibat dengan kejohanan jemputan.

"Walaupun kecergasan mereka di tahap bagus, kami perlu tingkatkan kepantasan, ketangkasan dan kekuatan.

"Falsafah bola sepak saya ialah apabila pemain cergas, barulah kami boleh buat taktikal."