KAFA perlu RM6 juta hadapi musim 2019

Oleh Farizal Yusoff 10 Oktober 2018 3648
KAFA perlu RM6 juta hadapi musim 2019
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memerlukan suntikan dana hampir RM6 juta bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijangka lebih mencabar musim depan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata persatuan itu memerlukan dana sebanyak itu bagi memastikan skuad Kelantan melakukan persiapan terbaik biarpun terpaksa bersaing dalam saingan Liga Perdana.

"Kami perlu mencari dana sekurang-kurangnya RM6 juta bagi memastikan Kelantan mampu bersaing dengan pasukan lain dalam Liga Perdana.

"Bukan itu sahaja, KAFA juga harus  mencari pemain berkualiti supaya dapat mengembalikan TRW ke Liga Super pada 2020," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terkini tajaan ke atas skuad TRW, Bibi Ramjani mengakui telah melakukan beberapa siri rundingan dengan syarikat yang berminat menaja badan induk itu musim depan.

"Saya boleh sahkan ada beberapa syarikat menunjukan minat untuk membantu KAFA tetapi tidak dapat mendedahkan butiran lanjut kerana masih di peringkat awal dan cuba mengelakkan sebarang salah faham.

"Paling penting, kami berusaha mencari penaja utama yang bakal meringankan beban kewangan yang dialami KAFA selama ini," katanya.

Dalam isu yang sama, Bibi Ramjani berterima kasih  kepada penaja sedia ada yang masih mahu membantu KAFA dalam aspek penajaan musim depan.

"Kami juga mengalu-alukan mana-mana syarikat atau ahli perniagaan yang berminat untuk menjadi rakan kongsi KAFA dalam usaha mengembalikan semula aura TRW ke saingan Liga Super," katanya.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen