Selepas menamatkan kontrak penyerang import kelahiran Indonesia, Ferdinand Sinaga, secara persetujuan bersama, kini Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberi bayangan akan melakukan tindakan yang sama ke atas penyerang import dari Brazil, Bruno Da Silva Lopes, akibat masalah kecederaan otot.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, menjelaskan hasil ujian Pengimejan Resonan Magnetik (MRI) mendapati bekas penyerang Persija Jakarta itu mengalami kecederaan otot yang berada pada tahap kedua.

“Kecederaan itu memaksa Lopes untuk berehat selama dua bulan sebelum boleh turun beraksi. Bagi KAFA, tempoh itu agak panjang kerana Kelantan memerlukan kemenangan bagi mencari kedudukan yang terbaik dalam Liga Super.

“Langkah segera perlu dilakukan dan kami telah mengadakan perbincangan untuk mencari kata putus, kelmarin,” katanya.

Bibi Ramjani juga menjelaskan keputusan untuk melepaskan Lopes demi kepentingan pasukan dan jika semua berjalan lancar, KAFA akan mengemukakan rayuan bagi menyenaraikan semula pemain tengah kreatif yang semakin pulih, Morgaro Lima Gomis.

“Kita akan merayu kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyenaraikan semula Gomis apabila pintu perpindahan pertengahan musim dibuka, bulan depan."

Dalam perkembangan yang sama, Bibi Ramjani mengesahkan penyerang, Norfarhan Mohamad, akan dipinjamkan kepada Kelab Liga FAM, D’AR Wanderers FC, sebagai sebahagian daripada proses meringankan beban kewangan yang ditanggung KAFA sekarang.