Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan Camilo da Silva bakal menjadi taruhan baru di jentera serangan untuk kempen Liga Malaysia (Liga-M) dan juga Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Penggempur yang pernah beraksi untuk Vancouver Whitecaps dalam Liga Bolasepak Utama (MLS) dan Tijuana di Mexico itu akan menggantikan Diogo Luis Santo yang dijangka kembali mewarnai Liga Thailand musim depan.

"Kami akan dapatkan seorang pengganti, Camilo da Silva, dari Brazil yang bermain untuk Tijuana.

"Saya telah tengok pemain tersebut dua tahun lepas tetapi ketika itu yurannya agak mahal di luar peruntukan kami.

"Jadi dia akan datang untuk Diogo," jelas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam sidang media hari ini.

Menurut Tunku Ismail, Camilo, yang pernah dinobat sebagai penjaring terbanyak MLS pada 2013, dikenal pasti sebagai pengganti yang tepat buat Diogo memandangkan corak permainannya yang selaras dengan falsafah Harimau Selatan.

"Kami sudah lama mahu bawa dia ke sini kerana permainannya sesuai dengan JDT.

"Saya bersabar, alhamdulillah selepas tunggu kontraknya akan tamat (dalam) beberapa bulan lagi barulah saya dapat menandatangi pemain tersebut," kata Tunku Ismail lagi.

Stretching ?‍♂️ Sprinting ? Shooting ? The boys are upping the intensity at the JDT Training Centre ? #JDT #TrainingSession #LuaskanKuasamuJohor

Posted by JOHOR Southern Tigers on Wednesday, October 21, 2020


Selain itu, Tunku Ismail, mengesahkan bahawa bintang Felda United, Danial Amier Norhisham, juga akan menyusul ke juara bertahan tujuh kali berturut-turut Liga Super itu sambil mengesahkan tidak akan menghantar skuad terkuat ke Qatar untuk baki kempen ACL bulan depan.

"Bukan kami tidak hormat pertandingan ACL dan kami menganggap pertandingan ini mustahak.

"Oleh kerana dah banyak kali ACL ditangguhkan, ia boleh mengganggu persiapan kami untuk (saingan) tahun depan.

"Jadi keputusan tepat pada masa ini, kami hantar pasukan seimbang (kerana kami akan bentuk) dua pasukan untuk Piala Malaysia dan ACL.

"Kami akan memberikan sepenuh tumpuan kepada ACL musim depan."